KEMAMAN: Sebanyak 605 kompaun bernilai RM1.569 juta dikeluarkan terhadap syarikat dan individu di negeri ini yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 85 kompaun melibatkan syarikat manakala 520 lagi adalah individu.
“Setakat ini sebanyak 461 kompaun telah dijelaskan dengan jumlah kutipan sebanyak RM614,517.
“Berdasarkan pemeriksaan ke 62,727 premis termasuk kilang, kita mengenal pasti 21 kesalahan termasuk penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka di samping gagal mendaftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera dan buku catatan,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Inter-Agensi Penguatkuasaan PKP 3.0 di kawasan perindustrian Kertih di sini.
Menurut Nor Azimi, Kemaman merupakan daerah tertinggi dikenakan kompaun dan sepanjang PKP 3.0 ini sebanyak 127 kompaun dikeluarkan kepada lebih 80 premis perniagaan dan kilang membabitkan jumlah keseluruhan RM936,000.
“Masih ada premis perniagaan yang melanggar syarat PKP dengan bilangan pekerja melebihi 60 peratus di samping aktiviti berkumpul pada waktu makan dan rehat yang dikhuatiri boleh menjadi punca penularan Covid-19,” katanya.