KUALA TERENGGANU: Sebanyak 664 premis diperiksa di seluruh negeri dengan 19 kompaun dikeluarkan membabitkan jumlah keseluruhan RM173,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, daripada jumlah itu enam kes membabitkan kesalahan tiada penjarakan fizikal diikuti peralatan saringan suhu dan merekod butiran diri (dua kes) di samping aktiviti perkumpulan yang menyukarkan penjarakan fizikal dan lain-lain kesalahan (11 kes).
Katanya, tindakan kompaun itu dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Pemain industri dan orang ramai dinasihatkan tidak mengambil mudah kepentingan menjaga SOP bagi mengelak risiko jangkitan serta kewujudan kluster baharu Covid-19 yang boleh merencatkan usaha pemulihan ekonomi, sektor perniagaan dan perdagangan domestik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Saharuddin meminta premis perniagaan agar memainkan peranan masing-masing termasuk menampal notis had pelanggan di pintu masuk premis di samping menyediakan alat pengimbas suhu, buku rekod pelanggan, kod QR MySejahtera dan melakukan penilaian risiko terhadap pelanggan.
Katanya, mana-mana individu yang melanggar SOP ditetapkan akan dikenakan tindakan mengikut Akta 342.
Dalam pada itu, katanya, bekalan minyak masak di negeri ini dijamin mencukupi dan tiada sebarang masalah kekurangan timbul di semua peringkat rantaian pengedaran.
Malah, katanya, pihak pasar raya dibenarkan membuat kawalan kendiri dengan mengehadkan pembelian minyak masak paket bersubsidi.
“Seramai 117 pegawai penguat kuasa bersama 59 pegawai pemantau harga giat melakukan pemantauan bagi memastikan bekalasn barangan keperluan asas mencukupi dan mudah diperoleh di pasaran.
“Jadi, pengguna tidak perlu khuatir dengan bekalan makanan dan keperluan harian kerana kesemuanya mencukupi dan premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong serta peruncit masih beroperasi seperti biasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE