PUTRAJAYA: Dua perkampungan di Kota Belud, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Selasa hingga 12 Julai ini iaitu Kampung Nahaba Tegudon dan Kampung Linau yang sudah pun merekodkan 20 kes Covid-19.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, satu lagi lokaliti PKPD di negeri tersebut melibatkan Kampung Penimbawan, Tuaran dilanjutkan lagi ekoran terdapat penularan berterusan dalam kalangan komuniti dan jangkitan baharu masih lagi direkodkan.
“Bagaimanapun, tiga lokaliti di negeri berkenaan ditamatkan PKPD esok seperti dijadualkan iaitu Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud; Batu 3.5, Jalan Apas Kiri, Tawau dan Kampung Tanjung Kapor, Kudat.
“Turut berakhir PKPD esok ialah lima sub-zon Labuan serta 11 buah rumah panjang dan Sekolah Kebangsaan Stalon di Tanjung Manis, Mukah Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rumah panjang yang terlibat ialah Mut anak Merom @ Bohom, Sana anak Changgai, Jimbun anak Saging, Bon anak Depa, Empading anak Edi, Jaapar anak Anyut dan Jebat anak Talak, juga Puso anak Lunak, Nyalau anak Engkamat, Noh anak Bin dan Damat anak Enggie.
Sementara itu, beliau berkata, bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam terus naik dengan 798 individu ditahan, 762 daripadanya dikompaun, 24 direman dan 12 lagi dijamin.
Menurutnya, kesalahan tertinggi ialah tiada penjarakan fizikal dengan 172 kes diikuti tidak patuh arahan PKP sebanyak 149 kes.
“Ia disusuli pelbagai kesalahan lazim iaitu gagal merekod butiran diri (114), tidak memakai pelitup muka (108), membawa penumpang secara berlebihan (69) dan lain-lain lagi (216),” katanya.
Beliau berkata, seramai 28 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan enam kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng selain tiga pendatang juga diusir dan 149 bot atau kapal dicurigai turut dikesan berdekatan perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan dibuat pasukan keselamatan.