KUANTAN: Kuantan merekodkan pertambahan sebanyak 110 kes baharu positif Covid-19 sekali gus menjadi daerah mencatatkan kes tertinggi hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, enam lagi daerah yang turut mencatatkan pertambahan kes baharu iaitu Jerantut (22 kes), Temerloh (11 kes), Bera (10 kes), Lipis (enam kes), Raub (dua kes) dan Maran (satu kes).
Katanya, keseluruhannya hari ini sebanyak 162 kes baharu direkodkan di negeri ini menjadikan jumlah terkumpul positif Covid-19 iaitu 12,618 kes.
“Berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan hari ini, 132 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 30 kes warganegara asing.
“Sebanyak 154 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan lapan kes import iaitu tiga dari Kuala Lumpur manakala lima dari Negeri Sembilan.
“Terdapat 100 kes diperoleh daripada saringan kluster, 49 saringan kontak rapat, 12 saringan bergejala dan satu saringan pra prosedur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu Dr. Bahari berkata, terdapat satu kluster baharu dilaporkan di daerah Bera melibatkan sebuah pasar raya di Jalan Sentral Triang dengan penularan wabak tersebut bermula dari tempat kerja.
“Kluster Sentral Triang itu bermula apabila seorang pekerja pasar raya menjalani saringan bergejala di klinik kesihatan berhampiran bersama seorang ahli keluarga dan mereka disahkan positif, 17 Jun lalu.
“Kemudiannya saringan kontak rapat keluarga mendapati kesemua enam ahli keluarganya yang tinggal serumah juga positif. Seramai 137 individu telah disaring dalam kluster ini dengan 18 kes telah dikesan positif Covid-19,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kes kematian baharu di negeri ini turut meningkat apabila terdapat dua lagi dilaporkan dan menjadikan jumlah kumulatif kematian iaitu 116 kes.
“Kedua-dua kes kematian tersebut berasal dari Bera dan salah seorang daripadanya merupakan warga emas.
“Kes kematian ke-115, lelaki berusia 73 tahun dari Felda Tembangau 1, yang turut mempunyai latar belakang penyakit diabetes dan hipertensi manakala kes ke-116 berusia 58 tahun dari Jalan Warga Emas, Triang, mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga,” katanya.