Kongres PKR lulus usul tangguh pemilihan, lanjut tempoh pegang jawatan - Utusan Malaysia

Kongres PKR lulus usul tangguh pemilihan, lanjut tempoh pegang jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Nasional PKR Ke-15 meluluskan dua usul iaitu penangguhan pemilihan parti dan melanjutkan tempoh memegang jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan jawatan kuasa cabang bagi sesi 2018 hingga 2021.

Keputusan itu dibuat selepas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan dua usul khas tersebut hari ini.

“Paling akhir kita adakan pemilihan pada 18 November 2019 dan tempoh penggal pegang jawatan adalah tiga tahun iaitu berakhir pada November 2021.

“Dalam perlembagaan parti, MPP boleh mengawal atau menangguhkan pemilihan tetapi tidak lebih daripada 18 bulan. Jadi kita buat keputusan menangguhkan pada satu tarikh yang akan diputuskan tetapi tidak melewati Mei 2023 iaitu 18 bulan selaras dengan perlembagaan parti,” katanya di sini hari ini.

Justeru, beliau mengusulkan dua usul iaitu pemilihan parti akan diadakan pada satu tarikh ditetapkan tidak lewat dari Mei 2023 dan melanjutkan tempoh pegang jawatan sehingga pemilihan parti diadakan.

Kedua-dua usul itu diterima sebulat suara oleh perwakilan.

Pada masa sama, Saifuddin dalam kenyataan berkata, antara faktor lain juga adalah PKR tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengadakan pemilihan tahun ini.

“Pemilihan parti lazimnya berlangsung hampir enam bulan membabitkan peringkat cabang, Angkatan Muda PKR (AMK), wanita dan MPP. Ketika tempoh darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berjalan, pemilihan dalam tempoh yang panjang terdedah kepada risiko Covid-19.

“Pemilihan parti ialah sistem satu anggota satu undi yang berjalan secara himpunan fizikal. PKR sekarang mempunyai keanggotaan sebesar 1,033,000 ahli yang jika 30 peratus sekalipun keluar mengundi akan terdedah risiko Covid-19 yang amat membahayakan,” katanya.

Dengan mengambil kira semua faktor tersebut, beliau memberi jaminan bahawa PKR terus komited memberi keutamaan kepada usaha mengatasi pandemik Covid-19, membela rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pelaksanaan program vaksinasi yang lebih berkesan dan menyeluruh. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya