JOHOR BAHRU: Polis Johor mengeluarkan sebanyak 82 kompaun dalam tempoh dua hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang menguatkuasakan sekatan pergerakan penuh bermula kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua kompaun tersebut bernilai RM210,500 manakala jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan pihaknya sejak 1 Januari lalu pula adalah sebanyak 4,423.
Menurutnya, kawasan pentadbiran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri dan Segamat mencatatkan jumlah pengeluaran kompaun terkumpul tertinggi.
“Antara kesalahan lazim yang dilakukan adalah gagal memakai pelitup muka serta mengimbas MySejahtera dan menjaga penjarakan selain penumpang berlebihan dalam kenderaan dan tidak mengimbas suhu badan ketika memasuki premis.
“Dalam tempoh dua hari itu juga, polis telah memeriksa 17,512 premis bagi memastikan tahap pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan antaranya pasar raya, restoran, pusat komersial, pusat perindustrian, rumah ibadat, terminal pengangkutan, pusat sukan dan rekreasi serta premis penjaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, sebanyak 375 premis perindustrian turut diperiksa yang akan dilaksanakan secara berterusan terutama dalam kawasan penularan kluster dan lokaliti yang tersenarai dalam data Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).
Jelas beliau, pemeriksaan berkenaan dilakukan seramai 1,598 pegawai dan anggota yang digerakkan secara aktif di seluruh Johor dengan pematuhan setakat ini berada pada tahap 97 peratus.
Sementara itu, seramai 1,047 pegawai dan anggota daripada polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditempatkan di 69 lokasi sekatan jalan raya di seluruh negeri merangkumi 43 SJR di susur keluar masuk lebuh raya, sempadan negeri dan daerah.
“Dalam tempoh dua hari itu juga, polis menerima 3,384 permohonan pergerakan rentas daerah dan negeri di mana sebanyak 88 daripadanya ditolak manakala selebihnya diluluskan,” katanya.