KUALA LUMPUR: Penyanyi rap terkenal, Kmy Kmo berkongsi berita kelahiran cahaya mata keduanya, seorang bayi lelaki yang selamat dilahirkan pada Selasa lalu.
Penyanyi lagu Neraca itu berkongsi berita gembira tersebut menerusi akaun Instagram miliknya dan turut memuat naik separuh gambar bayi.
“Alhamdulillah, sihat seadanya. Kedua-dua putera saya ini adalah cahaya mata yang sering memberikan semangat untuk terus berjuang demi kelangsungan hidup hingga ke hari ini. Kadang bertakung air mata, kadang sebak di dada, kadang berjuta-juta visual bermain dilayar akal.
“Di dalam musim yang penuh pancaroba ini, hidup lah kita untuk silaturahim kita, usah lagi mengharapkan pada sesuatu janji yang belum pasti telus tanpa ada agenda. Kuatkanlah semangatmu demi anak-anak, ibu, isteri, ayah, dan adik-beradik yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kita setiap hari.
“Aku kuat, demi orang yang aku sayang, samalah dengan engkau, engkau pun kuat untuk orang yang kau sayang. Terus bersemangat semua, ayuh,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Kmy Kmo atau Lukmanul Hakim menamakan putera keduanya itu Abdul Akbar Naseem.
Hasil perkongsian hidup Kmy bersama isteri tercinta, Syifa Diana, mereka dikurniakan cahaya mata pertama lelaki, Abdul Jabbar Rakeem, 2 tahun lima bulan.