SHAH ALAM: Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (KKUiTM) menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi atas pelantikan Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM.
Presiden KKUiTM, Zulkifli Mohamed berkata, kedua-dua tokoh tersebut adalah insan yang sangat berpengalaman dalam sistem UiTM, apatah lagi Ibrahim merupakan bekas penuntut, bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ITM, bekas pensyarah, Pentadbir UiTM dan kini beliau adalah Pengerusi LPU.
“Sudah tentu bagi kami ia sesuatu yang membanggakan dan pengalaman beliau dalam segenap peringkat universiti ini adalah sangat diperlukan bagi memastikan universiti terus maju, berdaya saing, berintegiriti serta mempunyai jati diri yang kuat terhadap anak bangsa.
“Prof. Dr. Mohd. Sazili juga pernah menjawat jawatan dekan dan terlibat dalam banyak jawatan kuasa UiTM serta jawatan pentadbiran lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Ahli Parlimen Setia Wangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sekurang-kurangnya 13 individu daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) telah dilantik memegang jawatan di lembaga pengarah atau lembaga gabenor universiti awam, berdasarkan pemeriksaan di laman web universiti.
Antara yang disebut adalah Mohd. Sazili yang didakwa Nik Nazmi sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang sedangkan menurut Mohd.Sazili beliau memegang jawatan tersebut pada tahun 2008.
Zulkifli berkata, perlantikan kedua tokoh tersebut dibuat menerusi iklan terbuka yang melalui proses temuduga oleh ahli panel berwibawa dan tapisan kriteria ditetapkan.
Katanya, KKUiTM sebulat suara menyokong penuh pelantikan tersebut.
“Kami amat berharap agar pihak berkenaan agar melihat perkara ini secara profesional, jangan membuat tuduhan membuta tuli yang akhirnya merugikan UiTM dan anak bangsa yang sangat bergantung harap untuk merubah masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini, Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (Mitasa) turut membidas laporan yang mendakwa pelantikan pengerusi lembaga pengarah (LPU) dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM berunsurkan politik kepartian kepada Perikatan Nasional dan UMNO.
Presiden Mitasa, Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, persatuan berpandangan bahawa pelantikan kedua-dua individu terbabit seharusnya tidak dikaitkan dengan politik apatah lagi merujuk secara khusus sesebuah parti politik. – UTUSAN ONLINE