PETALING JAYA: Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan rakyat memerlukan sebuah kerajaan sementara yang telus dan boleh dipercayai dalam menghadapi krisis politik serta kesihatan ketika ini.
Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, perkara itu boleh dilakukan dengan penyatupaduan semua parti politik di negara ini dan kerajaan sementara ini akan menumpukan kepada satu perkara sahaja itu menangani masalah Covid-19.
“Kerajaan sementara ini akan diberi kerangka waktu tertentu dan cukup waktu untuk hanya fokus menangani wabak Covid-19, termasuk mengelola program vaksinasi secara telus,” katanya.
Namun, beliau menganggap kerajaan sementara itu perlu melantik seseorang individu yang mempunyai sifat kepemimpinan tinggi dan berpengalaman dalam menangani sebarang krisis negara.
“Individu ini juga seharusnya tidak memiliki beban politik atau kepentingan diri dan tidak mempunyai niat untuk terlibat secara aktif dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Titiwangsa turut menggariskan beberapa cadangan untuk kerajaan sementara menangani wabak dan masalah ekonomi yang dihadapi negara.
Katanya, kerajaan sementara perlu memastikan tidak ada golongan yang diabaikan tanpa makanan di atas meja, mesti ada koordinasi antara ahli-ahli Parlimen, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, jabatan kebajikan dan pihak berkuasa tempatan serta bantuan perlu diberikan segera.
“Program imunisasi Covid-19 mesti digerakkan secara 100 peratus untuk manfaat kepada masyarakat agar kelangsungan hidup dapat diselamatkan dengan kadar segera,” katanya.
Justeru, katanya, tidak ada seorang pun yang seharusnya mendapat keuntungan daripada program vaksinasi.
“Semuanya harus telus dari pembelian dan kelulusan vaksin, pengedaran dan peruntukannya sehingga pelantikan hospital swasta dan pengamal am kesihatan.
“Ini perlu dilakukan dengan cepat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) harus menjadi penanda aras kita dalam apa sahaja yang kita putuskan dalam keadaan darurat ini. Sekiranya kita telus, lebih banyak negara yang akan datang untuk menyokong kita dengan pemberian bekalan vaksin,” katanya.
Selain itu, Johari mencadangkan bahawa kerajaan sementara membuat pelaburan secara besar-besaran bagi memperbanyak unit rawatan rapi di hospital dan membeli peralatan yang diperlukan.
“Sebagai tambahan, pusat sementara harus dikenal pasti di setiap kawasan Parlimen bagi membantu individu yang positif Covid-19 dan yang memerlukan sokongan pernafasan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan sementara juga harus mencari ubat dapat digunakan sebagai pilihan alternatif untuk merawat individu yang menderita penyakit tetapi tidak kritikal, sementara menunggu untuk divaksinasi.
Ini kerana, katanya, terlalu bergantung pada vaksin adalah strategi berbahaya kerana terdapat varian virus Covid-19 baharu yang terus muncul menyebabkan keberkesanan vaksin menjadi lebih rendah.
“Di United Kingdom, setelah proses vaksinasi capai hampir 50 peratus, varian Delta baru-baru ini meningkatkan kembali bilangan kes Covid-19 mengakibatkan kerajaannya terpaksa menangguhkan keputusan untuk menarik balik larangan pergerakan.
“Kementerian Kesihatan juga harus terbuka untuk alternatif lain yang digunakan oleh negara lain atau yang telah disetujui oleh badan antarabangsa seperti WHO,” katanya.
Dari sudut ekonomi, beliau berkata, perniagaan perlu terus beroperasi dengan syarat mereka melakukan ujian saringan terhadap pekerja masing-masing setiap minggu.
“Mereka yang didapati positif perlu dikuarantin di rumah. Mereka yang gagal mematuhinya tidak dibenarkan untuk membuka perniagaan.
“Untuk mendorong majikan melakukan ujian besar-besaran, pengurangan cukai berganda perlu diberikan pada kos ujian tersebut serta memberi subsidi kepada perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Tambah Johari, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu merancang bagaimana untuk mengadakan pilihan raya umum dalam 18 bulan ke depan.
“Oleh kerana pandemik ini mungkin akan berlanjutan lebih lama daripada yang dijangkakan, kaedah mengendalikan pilihan raya harus berbeza.
“Oleh itu, SPR harus mengkaji bagaimana negara-negara lain mengadakan pilihan raya sambil berjaya memastikan bilangan kes Covid-19 berada di tahap serendah yang mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE