Kit Siang gesa Kabinet adakan mesyuarat tergempar - Utusan Malaysia

Kit Siang gesa Kabinet adakan mesyuarat tergempar

LIM Kit Siang (tiga kiri) bersama Dzulkefly Ahmad (empat kiri) dan Tan Hong Pin (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada PPV Dewan Serbaguna Taman Universiti, di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kabinet dicadang untuk mengadakan mesyuarat tergempar segera bagi membincangkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara itu perlu susulan titah Seri Paduka bahawa sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh diadakan dengan segera.

Menurut Kit Siang, mesyuarat tergempar itu perlu dibuat segera sebagai ‘menyahut’ mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang telah diadakan selain bagi mengelak berlakunya krisis Perlembagaan dalam negara.

“Saya menyeru agar Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun meletakkan jawatan jika beliau tidak mampu meyakinkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad dan ADUN Skudai, Tan Hong Pin mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Taman Universiti di sini hari ini.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu segera bersidang bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan.

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, jika kerajaan masih tidak dapat mengadakan sidang Parlimen menjelang 1 Ogos, berkemungkinan negara akan berada dalam satu krisis Perlembagaan.

“Dewan Rakyat perlu bersidang setiap enam bulan sekali dan tarikh terakhir ia diadakan adalah pada Disember lalu, tetapi kerana darurat ia telah digantung. Namun, jika darurat tidak dipanjangkan Parlimen perlu bermesyuarat.

“Jika darurat dipanjangkan, ini juga merupakan tindakan yang menentang hasrat Seri Paduka. Tindakan itu dengan sendirinya akan menimbulkan krisis Perlembagaan dan pastinya rakyat Malaysia tidak mahu ia berlaku.

“Jika berlaku krisis Perlembagaan di mana rakyat menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, tentu Perdana Menteri hilang keyakinan dan kredibiliti yang masih ada, jadi saya harap perkara itu dapat dielakkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya