Kilang proses makanan kotor, tiada logo halal - Utusan Malaysia

Kilang proses makanan kotor, tiada logo halal

OMAR Bakhtiar Yaacob memeriksa sebuah kilang dalam Operasi Bersepadu Pemantauan Covid-19 di Kuala Kangsar, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sebuah kilang memproses makanan di Kawasan Perusahaan Kuala Kangsar, di sini bukan sahaja menggunakan logo halal tidak diiktiraf malah tahap kebersihan premis itu juga didapati tidak memuaskan.

Berdasarkan pemerhatian, keadaan premis tersebut bukan sahaja kotor dan berbau busuk malah terdapat kawasan pembiakan jentik-jentik di kilang berkenaan. 

Perkara itu terbongkar dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah dan Pemantauan Covid-19 di kilang-kilang sekitar Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, penggunaan logo halal tidak diiktiraf itu merupakan kesalahan berulang dilakukan premis berkenaan.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan ke atas premis itu mengikut Peraturan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

“Tiada kompaun dikeluarkan ke atas kilang tersebut dari segi pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 namun dari segi logo halal tidak sah, tindakan diambil oleh KPDNHEP.

“Bagi aspek kebersihan pula, tindakan susulan akan diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana pihak berkenaan akan melakukan pemeriksaan sekali lagi,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Omar Bakhtiar berkata, dalam operasi bersepadu di empat buah kilang di sini, tiada kompaun dikeluarkan ekoran kesemua premis mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) .

Menurut beliau, tiada kompaun ke atas kilang di daerah ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun hingga kini. 

“Hanya lima kompaun dikeluarkan ke atas individu bagi kesalahan rentas negeri dan daerah dalam tempoh sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN