TAPAH: Dua kilang di Bidor, dekat sini diarah tutup selepas didapati beroperasi tanpa surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kilang konkrit dan simen itu turut melanggar peraturan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Katanya, ini kerana, jenis operasi kilang itu tidak termasuk dalam sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh.
“Kedua-dua kilang itu masing-masing dikompaun RM10,000 kerana menjalankan operasi dalam sektor ekonomi yang tidak dibenarkan dalam tempoh PKP 3.0.
“Kompaun RM1,500 turut dikeluarkan kepada dua pekerja kilang kerana gagal mengimbas MySejahtera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap pematuhan SOP PKP di Kawasan Perindustrian Bidor di sini hari ini.
Menurut Wan Azharuddin, sebanyak 10 kilang diperiksa dalam operasi bersepadu yang dijalankan di daerah Bidor dan Sungkai.
Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti sepanjang operasi itu termasuk gagal menyediakan peralatan saringan suhu, kehadiran pekerja melebihi 60 peratus dan gagal memastikan pekerja mengimbas MySejahtera.
“Selain operasi di kilang, kita juga meneruskan pemantauan di premis-premis perniagaan terutama di kawasan pekan.
“Sekiranya terdapat pelanggaran SOP oleh premis perniagaan di mana membuka perniagaan sedangkan bukan dalam sektor perlu, maka tindakan kompaun dan diarahkan tutup akan dijalankan,” katanya.
Operasi disertai MKN, MITI, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Batang Padang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tapah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Daerah Tapah (MDT) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). – UTUSAN ONLINE