Kilang alat ganti basikal beroperasi lebih kapasiti dikompaun - Utusan Malaysia

Kilang alat ganti basikal beroperasi lebih kapasiti dikompaun

ANGGOTA penguat kuasa memeriksa 257 pekerja sebuah kilang alat ganti basikal yang didapati melanggar SOP PKP 3.0 di kawasan perindustrian Senai di Kulai, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Sebuah kilang alat ganti basikal di kawasan perindustrian Senai dikenakan kompaun RM20,000 dan diarahkan tutup selama seminggu setelah didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti, Senior Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati pengusaha kilang melanggar peraturan dengan membenarkan jumlah pekerja dalam pengoperasian kilang itu melebihi 60 peratus kapasiti yang dibenarkan.

“Kita dapati jumlah pekerja yang sedang bekerja pada waktu itu adalah seramai 257 orang iaitu melebihi had yang dibenarkan di kilang itu seramai 162 orang.

“Bagi kesalahan tersebut, pemilik kilang dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar peraturan yang diperuntukkan bagi pengoperasian kilang di bawah kesalahan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya selepas mengetuai operasi yang dibuat ke kilang terbabit di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulai, Deputi Superintenden Yusof Othman.

Seramai 41 anggota penguat kuasa yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan petugas Kementerian Kesihatan terlibat dalam operasi tersebut.

Abdul Aziz berkata, pengusaha kilang terbabit turut dikenakan kompaun RM10,000 kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika operasi sedang berjalan.

Dalam serbuan sama, kompaun turut dikenakan terhadap enam pekerja kilang berkenaan yang tidak berdaftar dengan aplikasi MySejahtera dengan setiap individu dikompaun RM1,500.

Katanya, kilang yang sudah beroperasi sejak 15 tahun lalu turut diarahkan tutup selama seminggu sehingga mematuhi sepenuhnya arahan kerajaan sebelum membuat permohonan semula untuk beroperasi.

“Walaupun kilang itu mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) beroperasi, mereka tetap perlu patuh SOP PKP 3.0,” katanya.

Terdahulu, dalam serbuan pukul 11.50 pagi itu, kelihatan kira-kira 20 pekerja kilang terbabit dipercayai warga asing lari bertempiaran sehingga melompat pagar melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Malah seorang pekerja kilang wanita yang gagal meloloskan diri kelihatan mengalami sesak nafas apabila mengurut dadanya perlahan-lahan.

Setelah hampir kesemua 257 pekerja kilang diperiksa, mereka dibenarkan pulang serta-merta apabila kilang itu diarahkan tutup bermula hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN