Khairy diminta bersikap lebih jujur - Utusan Malaysia

Khairy diminta bersikap lebih jujur

TAN KOK YEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: DAP Kedah menggesa Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin bersikap lebih jujur dalam menjelaskan kepada rakyat punca kelewatan sebenar pembelian vaksin.

Pengerusinya, Tan Kok Yew berkata, menteri berkenaan dinasihatkan agar jangan sekali-kali cuba menutup kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang penuh birokrasi, lembap, lemah, sambil lewa dan ketandusan idea dengan dasar yang berubah-ubah dalam menangani pandemik ini selain meletakkan kesalahan kepada rakyat atau pihak-pihak lain.

“Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Michalis Rokas menafikan tuduhan Khairy Jamaluddin yang menyalahkan negara Barat kerana membolot bekalan vaksin dan mendedahkan bahawa EU meluluskan segera pengeksportan kira-kira 5 juta dos vaksin Covid-19 bagi membantu Malaysia mempercepatkan PICK.

“Sekali lagi, kerajaan cuba mencari helah dan mengalihkan perhatian rakyat terhadap kegagalan mereka memastikan bekalan vaksin yang mencukupi dan tiba di saat-saat genting ini untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, kenyataan menteri berkenaan baru-baru ini bahawa beliau sekarang memilih untuk menggunakan istilah ‘imunisasi’ dan bukan lagi istilah ‘imuniti kelompok’ kerana menyedari vaksin bukan penyelesaian yang terjamin untuk pandemik adalah tidak bertanggungjawab.

“Kenyataan ini juga boleh mengelirukan rakyat dan memberi satu gambaran di mana imuniti kelompok seolah-olah bukan cara penyelesaiannya. Terbukti beberapa negara kini telah dibuka semula bagi aktiviti ekonomi serta sosial seperti pelancongan.

“Sekiranya ini bukan penyelesaiannya, maka perbelanjaan dana awam sebanyak RM5 billion tanpa kelulusan Parlimen akan menjadi sia-sia,” katanya.

Jelasnya, DAP Kedah dan Pakatan Harapan (PH) Kedah melancar dan mengaturkan pasukan sukarelawan ke seluruh negeri untuk memberi penerangan, kesedaran dan membantu rakyat mendaftar untuk menerima vaksin.

“Kami tidak setuju dan tidak menyokong kerajaan PN tetapi kami mengutamakan nyawa rakyat dan kesihatan awam, kami cintai negara ini dan berdoa agar semua penduduk di Malaysia dapat keluar daripada belenggu pandemik ini dalam masa yang terdekat.

“Kami percaya buat masa ini, vaksin adalah satu-satunya cara untuk membantu rakyat, mengurangkan ancaman Covid-19 terhadap kesihatan awam. Kami sedia bergerak ke arah imuniti komuniti dalam jangka masa yang pendek,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya