KUALA LUMPUR: Pelakon, Ashraf Muslim, memuat naik hantaran video di akaun Instagram (IG) miliknya, memberitahu dia menghadapi kesan sampingan daripada jangkitan Covid-19 pada bahunya.
Ashraf, 38, yang disahkan positif virus berkenaan akhir Mac lalu, berkata, kesakitan dialami itu datang dengan tiba-tiba sewaktu menjalani kuarantin.
Menurut doktor pakar, masalah bahu yang dialaminya itu dikenali sebagai Acromioclavicular Joint Injury Shoulder and Elbow.
“Kata doktor ada dua sebab benda ini terjadi. Pertama hentakan yang kuat ataupun disebabkan virus. Kesannya otot kawasan itu mengecut. Tapi AC joint itu sebagai kesan kedua saja. Masalah utama ialah otot kecut selepas jangkitan virus menyebabkan sendi terkesan.
“Jadi memang jelas kena Covid, sebab virus ini masuk dalam darah dan benda ini buat kerjalah,” ujarnya.
Pelakon filem Bukan Cinta Malaikat itu menambah, sebelum ini dia pernah cedera pada bahagian tulang belikat atau scapula.
“Yang saya perasan, saya ini aktif bersukan, main ragbi, hoki dan bola keranjang. Jadi masalah cedera itu biasalah. Tapi bila dah tua ini, mungkin ada bahagian pada tubuh badan kita pernah cedera. Jadi virus ini senang buat kerja dekat area itu.
“Tak apalah kita reda dengan apa yang Allah berikan ini sebab Allah nak kita ingat pada Dia selalu,” ujarnya reda.