PETALING JAYA: Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dan DHS Hospitality Academy Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama secara rasmi dengan menyediakan biasiswa yang bernilai hampir RM1 juta untuk golongan belia.
Kerjasama itu termeterai menerusi majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) secara maya antara Pengerusi MTC, Uzaidi Udanis dan Pengarah DHS, Dr. Sri Kumar Sivakumaran.
Majlis itu turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr. Noor Zari Hamat.
Uzaidi berkata, kolaborasi itu bakal mengubah nasib industri pelancongan di masa akan datang.
“Ini pertama kali inisiatif dari pihak swasta menyediakan biasiswa sehingga RM1 juta kepada belia yang berminat untuk menceburi bidang pelancongan dan hospitaliti.
“Inilah masanya untuk belia terutamanya yang baru mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil peluang dan kita berharap program yang akan diadakan menerusi kerjasama ini dapat menarik lebih ramai belia dari B40 dan M40 menceburi bidang ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media secara maya di sini, hari ini.
Kolaborasi antara MTC dan DHS akan mewujudkan dua program iaitu Program ‘Malaysian Industrial Attachment’ dengan memberi tumpuan kepada 500 belia B40 dan M40 yang akan ditaja penuh selama setahun dalam industri perkhidmatan makanan.
Satu lagi program iaitu Program ‘Pathway to Global Hospitality’ pula merupakan program terperinci yang menumpukan kepada dua kategori iaitu latihan 12 bulan kepada golongan profesional dan latihan 16 bulan untuk lulusan SPM.
Peserta yang melengkapkan program tersebut akan mendapat sijil operasi hospitaliti yang dianugerahkan oleh UPM Education and Training Sdn. Bhd. dalam fasa satu, sebelum mendapat diploma Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti yang dianugerahkan oleh kolej Singapura, TMC Academy pada fasa kedua, membolehkan peserta melanjutkan pengajian ijazah sama ada di United Kingdom atau Switzerland.
Fasa ketiga program ini meliputi latihan enam bulan dengan tajaan penuh kepada 14 peserta terawal dan tajaan separa untuk 50 peserta seterusnya.
MTC dan DHS akan membuka permohonan dalam masa terdekat dan kedua-dua program ini dijangka mula mencari peserta pada minggu depan. – UTUSAN ONLINE