Kerajaan tidak kawal harga minyak masak dalam botol - Utusan Malaysia

Kerajaan tidak kawal harga minyak masak dalam botol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak masak dalam botol tidak ditetapkan atau dikawal kerajaan kerana ia bukan minyak bersubsidi.

Perkara itu dijelaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam Facebook kementerian itu hari ini ekoran rungutan orang ramai kenaikan harga minyak masak dalam botol.

Jelas kementerian itu, kerajaan hanya menetapkan harga minyak masak bersubsidi yang dijual dalam pek polibeg satu kilogram iaitu RM2.50.

“Harga minyak sawit mentah ditentukan oleh pasaran dunia, ada turun dan ada masanya naik. Pada masa ini harga di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4,300 metrik tan berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2,500 metrik tan bersamaan lebih kurang RM4.30 per kilogram sebelum diproses dan dibotolkan.

“Ini bermakna kos minyak sawit mentah sebelum dibotolkan sudah melebihi RM21 untuk lima kilogram. Itu tidak termasuk kos-kos lain seperti pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit,” jelas kementerian itu.

Kementerian itu mengulas rungutan pengguna yang terkejut apabila mendapati harga minyak masak dalam botol terus naik melambung berbanding sebelum ini.

Minyak masak dalam botol lima kilogram didapati melonjak naik melepasi harga antara RM30 hingga RM32.70 sebotol berbanding hanya RM25.90 hingga RM28 sebotol sebelum ini.

Dalam pada itu, kementerian menjelaskan, sebenarnya kualiti minyak sawit bersubsidi dalam pek polibeg satu kilogram adalah sama dengan minyak sawit dalam botol.

“Sejak dulu lagi kerajaan memperuntukkan berjuta ringgit untuk minyak masak bersubsidi. Untuk tahun ini sahaja, sekitar 60,000 tan metrik setiap bulan diperuntukkan bagi kegunaan rakyat.

“Itu bersamaan dengan 60 juta polibeg satu kilogram sebulan atau 1.8 kilogram minyak sawit untuk setiap rakyat Malaysia setiap bulan.

“Pengguna minyak masak mempunyai pelbagai pilihan. Terpulang cita rasa dan bajet masing-masing dalam memilih jenis minyak masak, yang penting utamakan kualiti dan nilai,” katanya.

Kementerian juga menasihatkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi Price Catcher untuk mengetahui dan membanding harga minyak masak tidak bersubsidi di premis perniagaan berdekatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya