ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 pada minggu depan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara mulai hari ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pemerkasaan pengurusan pandemik negeri Johor dan juga pengukuhan bantuan keselamatan sosial kepada rakyat yang memerlukan akan menjadi fokus utama dalam PRE kali ini.
Menurut beliau, pakej rangsangan tersebut adalah pelengkap kepada inisiatif dan bantuan Kerajaan Pusat serta kesinambungan daripada PRE Ihsan Johor 1.0 dan PRE Ihsan Johor 2.0.
“PRE Ihsan Johor 3.0 yang bakal diumumkan akan dilaksanakan segera supaya dapat sampai secepat mungkin kepada golongan sasar selain menggerakkan usaha pemulihan ekonomi negeri dengan lebih giat lagi.
“Bagi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamatnya, saya menyeru semua pihak yang terlibat bersama-sama memainkan peranan masing-masing dengan terbaik,” katanya di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan bantuan berkata, Program Bantuan Pemerkasa Tambahan (Pemerkasa+) dengan nilai keseluruhan RM40 bilion akan dilaksanakan berlandaskan tiga matlamat utama.
Matlamat tersebut adalah mempertingkat kapasiti kesihatan awam; meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Mengulas pengumuman itu, Hasni turut menyambut baik dan mengalu-alukan semua inisiatif berkenaan yang diumumkan Muhyiddin terutamanya peruntukan besar diberikan dalam mempertingkatkan sektor kesihatan dan bantuan kepada rakyat.
Katanya, ia merupakan usaha yang amat penting dan perlu disegerakan dalam memastikan langkah mendepani pandemik Covid-19 mampu mencapai kejayaan.
Mengulas lanjut mengenai PRE Johor, jelas Hasni, pemberian fasa pertama telah memanfaatkan seramai 295,464 penerima yang berjumlah RM167.33 juta, sementara PRE Ihsan Johor 2.0 memanfaatkan seramai 387,674 penerima dengan nilai bantuan yang berjumlah RM109.48 juta.