Kerajaan lambat bertindak walaupun sudah darurat

Kerajaan lambat bertindak walaupun sudah darurat

KERAJAAN disaran membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khususnya di kawasan luar bandar. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengumuman kerajaan Perikatan Nasional (PN) bahawa mereka akan menggerakkan aset kerajaan dalam membantu meningkatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sepatutnya dilakukan lebih awal lagi.

Pakatan Harapan (PH) Johor dalam satu kenyataan bersama berkata, pihaknya berasa kecewa dengan cara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan pandemik Covid-19 ketika ini.

Menurut kenyataan itu, walaupun proklamasi darurat telah dibuat namun tindakan efektif masih gagal dilaksanakan.

“Januari lalu Perdana Menteri menyatakan Proklamasi Darurat yang dilaksana boleh menjurus ke tahap penggunaan sumber manusia dan aset hospital melibatkan swasta bagi membantu kerajaan membendung wabak Covid-19.

“Namun setelah hampir enam bulan, baharu kerajaan mengarahkan kementerian dan agensi terlibat agar menggunakan semua aset bagi mempermudahkan akses rakyat kepada vaksin,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan secara bersama itu ditandatangani Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Semalam, Muhyiddin memaklumkan akan menggerakkan semua aset kerajaan bagi meningkatkan pendaftaran PICK yang sangat rendah ketika ini. 

Jelas Perdana Menteri, hal itu kerana hanya sekitar 51 peratus atau kira-kira 13 juta daripada populasi penduduk negara ini yang berusia 18 tahun telah mendaftar daripada keseluruhan mereka yang layak mendapat suntikan vaksin.

Sementara itu, menurut kenyataan itu, tindakan kerajaan yang baharu mengerahkan aset dan melibatkan sektor swasta dilihat dibuat dengan mengambil pendekatan ‘better late than never’.

“Langkah diambil kerajaan ini memang wajar namun ia dibuat dengan sangat perlahan, dalam masa perang melawan Covid-19 ini kerajaan sepatutnya bertindak dengan pantas.

“Selain itu, kami sekali lagi mendekati kerajaan agar membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khususnya di kawasan luar bandar kerana ada antara penerima yang terpaksa menempuh jarak perjalanan berulang alik sehingga 60 kilometer untuk mendapatkan suntikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya