PUTRAJAYA: Kerajaan darurat wajar ditubuhkan dan perlu mempunyai kerjasama daripada semua parti politik.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dalam keadaan kini, politik perlu diketepikan, malah meletakkan keutamaan rakyat serta negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, kerajaan darurat tidak semestinya dianggotai ahli-ahli politik, namun sesiapa yang berkelayakan dan mempunyai kepakaran boleh dilibatkan sama.
“Kerajaan darurat tidak semestinya orang politik. Semua boleh jadi asalkan orang yang berkelayakan.
“Ia juga boleh dipimpin oleh pakar-pakar yang mana boleh membawa kepada keselamatan rakyat dan negara,” katanya dalam webinar bertajuk Mengapa Parlimen Perlu Bersidang Semasa Covid-19 di sini.
Azalina berkata, pembukaan Parlimen dapat membantu kerajaan menangani isu pandemik Covid-19 kerana dilihat dapat membantu dari aspek pengurangan kes positif selain meningkatkan kefahaman rakyat berkaitan wabak itu.
Menurut beliau, jika Parlimen dibuka dan persidangan dilakukan secara fizikal atau maya, perkara itu dilihat tidak mengganggu-gugat pendekatan kerajaan untuk memerangi pandemik.
“Saya lihat pembukaan Parlimen akan membantu. Kita sebagai ahli Parlimen, semua permasalahan termasuk Covid-19, rakyat akan tanya kepada kita. Bila Parlimen dibuka, ia akan membantu kefahaman rakyat.
“Saya berpegang pada prinsip di dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa jemaah menteri bertanggungjawab secara bersama dalam Parlimen,” katanya.