PASIR GUDANG: Kerajaan baharu yang dicadang bagi menggantikan Perikatan Nasional (PN) haruslah menjaga kepentingan rakyat dengan mencari jalan keluar bagi mengatasi kemelut melanda negara ketika ini.
Bekas Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan tersebut perlu meneliti beberapa perkara seperti krisis ekonomi, pendidikan, ketiadaan pekerjaan dan kenaikan harga barang sebagai fokus utama.
Katanya, kerajaan baharu itu diperlukan kerana kerajaan sedia ada dilihat gagal dalam mentadbir negara.
“Kerajaan baharu juga perlu mendapat keyakinan dan sokongan meluas rakyat selain perlu telus dan menjadi ‘payung yang besar’ menggabungkan parti politik yang baik.
“Kerajaan baharu itu juga perlu berfungsi sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Kempen Daftar Vaksin di Pasar Awam Johor Jaya, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membayangkan bakal membentuk jajaran politik baharu bersama PKR dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya PN dalam PRU-15.
Kenyataan itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin yang menyifatkan langkah tersebut sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku berikutan perubahan dan keadaan politik semasa negara.
Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, partinya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk UMNO dalam membentuk kerajaan baharu asalkan kerjasama itu mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.
Beliau pada masa sama tidak bersetuju dengan penubuhan Majlis Gerakan Rakyat (Mageran) kerana bimbang akan menjadi kerajaan diktator dengan pemerintahan bercorak autokratik.
Menurut beliau, sebaliknya kerajaan awam (sivil) adalah pilihan terbaik buat rakyat dan negara ketika ini.
“Saya setuju dengan (bekas Perdana Menteri) Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan hari ini gagal tetapi tidak bersetuju cadangannya menubuhkan Mageran. Antara bukti kerajaan dilihat gagal adalah kerana proses vaksinasi kepada rakyat yang perlahan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE