Kerajaan ambil langkah susulan ikut Perlembagaan - Utusan Malaysia

Kerajaan ambil langkah susulan ikut Perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan mengambil maklum titah pandangan Seri Paduka seperti terkandung dalam kenyataan Istana Negara, semalam.

Jelas kenyataan itu, dalam sesi-sesi menghadap ke atas Seri Paduka sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum dan menasihati Al-Sultan Abdullah mengenai perjalanan pengurusan pandemik Covid-19.

“(Ini termasuk) penguatkuasaan Ordinan-Ordinan Darurat, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat.

“(Turut disembah maklum) pelaksanaan sidang Parlimen, Pelan Pemulihan Negara dan perkara-perkara lain yang berkaitan,” jelas kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah dalam titahnya menzahirkan pandangan sesi sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Titah Seri Paduka, Parlimen yang berperanan sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan Covid-19 termasuk peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang berada dalam kesempitan dan memulihkan semula ekonomi negara.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan bahawa vaksinasi merupakan satu-satunya jalan keluar bagi mengawal penularan virus tersebut.

“Kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan vaksinasi kepada rakyat agar matlamat untuk mencapai komuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai secepat mungkin,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan yang stabil dan kukuh perlu ada supaya dapat berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya