PUTRAJAYA: Pelaksanaan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dibuat dengan penuh integriti mengguna pakai sistem pemeriksaan skrip jawapan secara dalam talian, LPSkor untuk menghasilkan satu keputusan.
Pengarah Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, bagi menghasilkan keputusan mengikut nilai Gred Purata Nasional (GPN), bukanlah satu perkara mudah kerana memerlukan analisis jutaan data yang telah diberikan skor oleh setiap pemeriksa.
Justeru kata beliau, adalah mustahil pihaknya boleh meminda skor yang ditetapkan itu kerana setiap skor yang diberikan pemeriksa akan ‘dikunci’ dalam sistem LPSkor.
“Pelaksanaan STAM atau SPM, ramai pihak mempertikaikannya, saya dengan yakin menyatakan kita sudah laksanakan dengan penuh integriti dan sebaik mungkin kerana di belakang angka GPN itu ada jutaan data yang telah dijana daripada pemeriksaan yang dibuat secara dalam talian.
“Jadi mustahil kita boleh pinda skor itu kerana setiap satu daripada skor itu boleh dicari dari mana datangnya yang diberikan oleh pemeriksa. Kalau ada pindaan, pasti pemeriksa dapat tahu. Itu kelebihan LPSkor yang diguna pakai dan analisis yang kita buat menghasilkan satu keputusan pada tahap integriti dan profesional yang sangat tinggi,” katanya dalam sidang akhbar sempena keputusan STAM 2020 hari ini.
Sebelum ini terdapat dakwaan berkenaan isu penurunan skala gred SPM sebagaimana tular di media sosial yang menggambarkan seolah-olah ia adalah gred pemarkahan sebenar untuk SPM 2020 sehingga mengelirukan orang ramai terutama ibu bapa dan calon SPM.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat menerusi satu hantaran Facebook ‘Skala Gred SPM’ yang tular dan menegaskan ia adalah bukan milik Lembaga Peperiksaan.
Hantaran tersebut mencemar imej, kewibawaan dan kredibiliti Lembaga Peperiksaan sebagai badan pentaksiran negara dan menggugat ketenteraman awam.