PUTRAJAYA: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 akan diumumkan pada 10 Jun ini mulai pukul 10.00 pagi.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, calon sekolah dan persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui dua kaedah iaitu pertama secara dalam talian di pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh
Katanya, calon boleh turut menyemak menerusi kaedah kedua iaitu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 68886.
Jelas KPM, perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai pukul 10.00 pagi pada tarikh tersebut iaitu pada hari Khamis sehingga pukul 6.00 petang pada 17 Jun ini.
“Bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut KPM, bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet pula, pihak Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti calon persendirian tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.
Seramai 401,105 calon mendaftar menduduki peperiksaan SPM 2020 di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 22 Februari hingga 25 Mac lalu.
Peperiksaan SPM 2020 dianggap paling mencabar dalam sejarah pelaksanaan 57 tahun kerana buat julung kalinya peperiksaan awam itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang pertama kali diperkenalkan.
SOP pertama kali itu adalah bagi memastikan keselamatan calon dan pengawas peperiksaan berada pada tahap maksimum seterusnya mengawal penularan Covid-19.
SPM 2020 sesi kedua turut diadakan dengan seramai 2,969 calon menduduki di 197 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula 6 April hingga 23 April ini khusus bagi calon-calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan sesi pertama kerana disahkan positif Covid-19 atau perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan.
SPM 2020 SPM sepatutnya dijalankan antara 16 November hingga 7 Disember 2020 namun ditangguhkan pada 6 Januari dan kemudiannya ditangguhkan sekali lagi pada 22 Februari. – UTUSAN