Keputusan Majlis Raja-Raja agar Parlimen bersidang adalah wajar - Utusan Malaysia

Keputusan Majlis Raja-Raja agar Parlimen bersidang adalah wajar

ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan mesyuarat Majlis Raja-Raja bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin adalah wajar.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menghormati pandangan raja-raja menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh sesuai Parlimen bersidang.

Menurutnya, ini wajar walaupun persidangan itu hanya dijangka bermula antara September dan Oktober seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pemulihan Negara kelmarin.

Katanya, jika Perdana Menteri degil dan ingkar, Seri Paduka boleh meminda Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.

“Sekiranya perkara ini digantung, maka Seri Paduka tidak perlu lagi bertindas atas nasihat Perdana Menteri untuk memanggil Parlimen bersidang.

“Kesannya, Seri Paduka boleh bertindak atas budi bicaranya untuk memanggil persidangan Parlimen dan menetapkan bila tarikh untuk bersidang.

“Kalau Perdana Menteri setuju menasihati Yang di-Petuan Agong pada bulan ini, maka bulan depan juga Parlimen boleh bersidang selaras dengan titah Seri Paduka,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, penegasan Seri Paduka perlu diberi perhatian serius oleh Perdana Menteri dan Kabinet dan keputusan mesyuarat menggambarkan keprihatinan Seri Paduka bagi mencari jalan keluar kepada krisis yang melanda negara ketika ini.

“Perkembangan ini meletakkan kedudukan institusi Raja-raja Melayu sebagai institusi yang dihormati dan menjadi harapan rakyat berbilang kaum terutama pada saat getir negara berdepan dengan wabak Covid-19, kesempitan ekonomi dan kegawatan politik.

“Pandangan yang dizahirkan ini menunjukkan institusi istana sangat mengambil berat soal kelangsungan amalan demokrasi bagi memastikan wujud budaya ‘semak dan imbang’ sebagai mekanisma penting untuk mengelakkan salahlaku, ketirisan dan ketidakcekapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya