Kepenatan petugas hadapan dorong sertai myVAC - Utusan Malaysia

Kepenatan petugas hadapan dorong sertai myVAC

N. NAGA KAVIN AMUTHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Individu datang tanpa janji temu, tidak mahu menunggu lama, memilih jenama vaksin serta tidak mendapat maklumat tepat antara cabaran yang perlu dihadapi sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (myVAC) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali, Bukit Katil di sini.

Seorang sukarelawan, N. Naga Kavin Amuthan, 25, berkata, dia mengambil inisiatif menyertai myVAC kerana sudah biasa dengan dunia perubatan dan kesihatan sambil menunggu panggilan penempatan pekerjaan.

Menurutnya, tugas sukarelawan sangat penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada penerima vaksin yang hadir di samping membantu kelancaran proses vaksinasi di PPV.

“Ada yang datang tanpa maklumat sahih menyebabkan mereka takut-takut hendak divaksin kerana terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat dan berita palsu yang berlegar di media sosial.

“Sebagai seorang yang memiliki pengetahuan tentang perubatan, saya cuba memberikan penerangan sebaik mungkin. Saya boleh lihat mereka semakin tenang dan yakin vaksin yang diluluskan kerajaan adalah selamat,” katanya yang juga graduan Ijazah Doktor Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan, Muhamad Solihin Moht. Shati, 22, berkata, dia memanfaatkan cuti semester untuk menyertai myVAC selepas melihat petugas barisan hadapan yang semakin kepenatan dalam mengendalikan pandemik Covid-19.

MUHAMAD SOLIHIN MOHT. SHATI

Katanya, dia telah merasai sendiri pengalaman yang dilalui petugas barisan hadapan dan seperti dijangka, ia bukan tugas yang mudah untuk dilakukan.

“Orang ramai yang datang ke sini bermacam ragam. Ada yang datang tanpa janji temu, hendak selesai proses vaksinasi segera dan bertemu golongan anti vaksin.

“Selain itu, penyampaian maklumat yang tepat membantu penerima vaksin lebih bersedia dan melancarkan perjalanan vaksinasi,” katanya yang merupakan penuntut tahun tiga Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Program myVAC merupakan satu inisiatif yang ditubuhkan hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pengajian Tinggi dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk membantu dalam pelancaran program imunisasi kerajaan dengan menempatkan individu yang bersedia berkhidmat dalam pasukan vaksinasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya