KUALA LUMPUR: Bapa pelakon Arja Lee, Ramli Uteh, 78, telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.45 petang semalam.
Khabar duka itu dikongsi sendiri oleh Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 37, menerusi Instagramnya (IG). Pun begitu, punca dan butiran lanjut kematian bapanya itu tidak dinyatakan.
Dalam perkongsian sama Arja turut meluahkan rasa terkilan apabila hasrat arwah bapanya untuk melihat dia mengenggam segulung ijazah sarjana tidak kesampaian.
“Abah, kan adik dah bagi tahu, abah kena ada, kena datang dan kena tengok scroll master adik. Tak lama saja lagi abah. Abah cakap hari tu abah nak tengok adik jadi pensyarah kan? Abah cakap abah selalu doakan adik dan semua anak-anak abah berjaya dalam hidup. Itukan doa abah.
“Hari ni (Sabtu), jam 4.45 petang tadi lepas Asar, kenapa abah pejam mata dan abah tak bangun-bangun? Adik dah balik ni abah, nak jumpa abah. Abah kena peluk adik tau. Adik tak sabar nak jumpa abah,” luah Arja.
Dalam perkongsian entri terbaharu, Arja memaklumkan arwah bapa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serting, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.
Menjengah ruangan komen, Arja dihujani ucapan takziah dan kiriman doa buat Arja dan keluarga daripada peminat dan pengikutnya.