KOTA BHARU: Seramai 75 petugas media pelbagai agensi di negeri ini yang bernaung di bawah Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) menerima sumbangan wang tunai bagi meringankan beban berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden Kemudi, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi berkata, setiap ahli menerima wang tunai antara RM150 hingga RM300 seorang, berikutan pihak kelab tidak dapat melaksanakan program yang dirancang untuk mereka sepanjang tahun.
“Program sukan, riadah, lawatan, kursus dan latihan ketika ini tidak dapat dilaksanakan untuk manfaat ahli Kemudi dalam tempoh seluruh negara masih berdepan ancaman pandemik.
“Maka kita agih wang tunai hasil sumbangan pelbagai pihak yang diharap membantu meringankan beban petugas media, khususnya mereka yang positif Covid-19 atau menjadi kontak rapat ketika bertugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sumbangan itu juga bagi menghargai jasa semua petugas media di Kelantan yang tidak pernah berhenti bekerja mencari bahan berita dan menyampaikan maklumat kepada orang ramai setiap masa sejak negara dilanda pandemik Covid-19.
“Diharapkan sumbangan ini memberi suntikan semangat kepada para ahli dan semoga kita terus bersatu serta patuh menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE