Kementerian Dalam Negeri selaras operasi penguatkuasaan - Utusan Malaysia

Kementerian Dalam Negeri selaras operasi penguatkuasaan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju meletakkan tanggungjawab penyelasaran operasi penguatkuasaan semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat MKN hari ini dan ia meliputi pelaksanaan serbuan premis di seluruh negara.

“Ia susulan kerajaan menerima banyak aduan melibatkan sektor perkilangan yang didakwa menyalahgunakan surat kebenaran sejak akhir-akhir ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak kilang itu menjalankan operasi melibatkan perkhidmatan bukan perlu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Beliau menambah, mengikut maklumat, masih ada kilang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila beroperasi melebihi kapasiti 60 peratus pekerja dibenarkan.

Selain itu jelas beliau, terdapat kalangan petugas kilang terlibat yang didapati memakai gelang kuarantin namun diarah datang bekerja seperti biasa oleh majikan tidak bertanggungjawab.

“Justeru kerajaan akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap operator kilang yang melanggar SOP dengan melakukan serbuah dan pemeriksaan pematuhan,” katanya.

Ismail Sabri memberi jaminan kilang-kilang yang dikenal pasti sengaja ingkar peraturan itu bakal dikenakan kompaun termasuk arahan tutup premis dengan serta-merta.

Sementara itu, Penjara Sungai Udang di Melaka Tengah, Melaka bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Rabu ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu susulan 157 penghuninya positif Covid-19.
Turut dikenakan PKPD untuk tempoh sama ialah keseluruhan kawasan Kilang Sawit Cahaya Muda termasuk kuarters pekerjanya di Jalan Bidor, Tapah, Daerah Batang Padang, Perak.

Di Sarawak pula, PKPD dilaksanakan di Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau, Sungai Lepah, Tanjung Manis dan kuarters pekerja Balingian Power Generation.

Di Sabah, empat lokaliti dikenakan PKPD mulai lusa sehingga 6 Julai depan secara serentak, antaranya ialah dua lokaliti di Bahagian Tawau.

“Ia di Blok 11, Kampung Titingan dan Batu 7, Jalan Tinagat manakala dua lagi di Bahagian Pantai Barat iaitu Kampung Ejuk, Kota Belud dan Kampung Warisan, Kota Kinabalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya