BRASILIA: Bintang tengah Brazil, Casemiro menggesa rakan sepasukan agar mengekalkan momentum selepas memulakan kempen Copa America dengan kemenangan 3-0 ke atas Venezuela pagi tadi.
Jaringan Marquinhos, Neymar serta Gabriel Barbosa memastikan tuan rumah ‘saat akhir’ itu meredakan kemarahan rakyat yang sebelum ini menolak untuk kejohanan diadakan di negara mereka kerana pandemik Covid-19.
Bagaimanapun ‘mood’ dan keterujaan terhadap skuad kebangsaan serta bola sepak pasti akan bertukar jika Brazil terus menunjukkan prestasi cemerlang.
“Jersi ini (tanggungjawab) sangat berat. Ia mempunyai sejarah yang panjang. Tidak kisahlah aksi persahabatan, Copa America, kelayakan atau Piala Dunia, anda perlu main untuk menang kerana pengharapannya yang tinggi.
“Mereka yang terpilih perlu menghormati jersi ini tak kira apa keputusannya. Namun, dalam bola sepak segalanya tentang memberikan yang terbaik dan sentiasa mahukan kemenangan,” katanya.
Sementara itu, Marquinhos gembira meledak gol penting yang dianggap membuka laluan kepada pasukannya memperoleh kemenangan.
“Saya percaya pasukan ini berjaya melakukan apa yang kami mahu. Kami sedar, kami akan berdepan pasukan yang suka bertahan, sekali gus menyukarkan kami untuk bermain.
“Syukur kerana kami berjaya membuka jaringan dan itu memudahkan kami.
“Kami tahu betapa pentingnya untuk menjaringkan gol sekalipun sebagai pertahanan, apatah lagi dalam perlawanan seperti ini.
“Jaringan pertama penting kerana ia akan mendorong lawan untuk mula membuka permainan,” katanya yang meledak gol pada minit ke-23. – AGENSI