PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Kit Siang menaruh harapan mesyuarat Kabinet esok dapat menentukan hala tuju negara terutama dari segi pandemik Covid-19 dan sidang Parlimen.
Dalam catatan blog miliknya hari ini, beliau berkata, masih banyak persoalan yang timbul sama ada kerajaan akhirnya bersedia mengadakan sidang Parlimen.
“Adakah Kabinet akan menghentikan permainan kepura-puraan seperti yang disokong oleh dua Menteri Pas terhadap titah Yang di-Pertuan Agong dan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja pada 16 Jun lalu sejajar dengan usaha kerajaan seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri dalam Pelan Pemulihan Negara?
“Adakah mereka akhirnya akan menerima kenyataan bahawa Parlimen harus diadakan secepat mungkin sebelum 1 Ogos dan tidak ada keperluan darurat diteruskan?” katanya.
Beliau juga mempersoal mengapa Perdana Menteri dan menteri-menterinya begitu tidak selari dengan realiti semasa dan enggan menerima hakikat bahawa darurat bukanlah jalan penyelesaian bagi pandemik Covid-19.
“Mengapa begitu sukar untuk menerima perlunya sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan secepat mungkin supaya semua pihak dapat bekerjasama melawan pandemik Covid-19 dan mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat.
“Adakah Kabinet akan berhenti berpura-pura dan merangka dasar yang bersungguh-sungguh dalam usaha memerangi pandemik Covid-19?” soalnya. – UTUSAN ONLINE