Kekalkan Najwan Halimi sebagai Ketua AMK Selangor - 17 cabang AMK - Utusan Malaysia

Kekalkan Najwan Halimi sebagai Ketua AMK Selangor – 17 cabang AMK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 17 cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR menuntut supaya ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi dikekalkan sebagai Ketua AMK Negeri Selangor.

Dalam satu kenyataan, 17 AMK menyifatkan Najwan Halimi digugurkan dari jawatan Ketua AMK Negeri Selangor tanpa sebarang asas dan alasan kukuh.

“Mewakili anggota AMK peringkat cabang seluruh Negeri Selangor, kami membantah sekeras-kerasnya keputusan tersebut yang dilakukan secara tergesa-gesa, semberono dan tanpa sebarang konsensus melibatkan pimpinan AMK cabang Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata mereka, sepanjang tempoh lebih dua tahun Najwan memimpin AMK Selangor, beliau telah mempamerkan kepimpinan yang cemerlang serta berperanan penting dalam menyatupadukan anggota AMK yang berpecah belah pasca Langkah Sheraton.

“Beliau juga telah memastikan pandangan, cadangan serta suara anggota akar umbi di Negeri Selangor diperjuangkan di peringkat yang lebih tinggi serta ditangani dengan baik.

“Justeru, kami menzahirkan solidariti dan dukungan penuh kepada Najwan Halimi serta menuntut Ketua AMK agar menarik semula keputusan beliau semalam dan mengekalkan kedudukan Najwan Halimi sebagai Ketua AMK Selangor demi memastikan kestabilan sayap pemuda PKR serta untuk mengelakkan perpecahan dalaman parti,” katanya.

Mereka turut menyatakan sokongan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dan akan terus mempertahankan beliau dari digugat oleh pihak-pihak yang cuba melemah serta memecahbelahkan parti.

Cabang AMK yang menyokong Najwan adalah AMK Kuala Langat, AMK Puchong, AMK Damansara, AMK Hulu Langat, AMK Bangi, AMK Hulu Selangor, AMK Kota Raja, AMK Klang, AMK Petaling Jaya, AMK Tanjong Karang, AMK Kapar, AMK Ampang, AMK Gombak, AMK Kuala Selangor, AMK Selayang, AMK Sungai Buloh dan AMK Pandan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya