KOTA BHARU: Pemilik kedai runcit di Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin di sini dipercayai menjadi kes indeks atau pencetus jangkitan Covid-19 sehingga kawasan tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat hingga 8 Julai ini.
Setakat ini, 46 daripada 866 penduduk disahkan positif sejak ujian saringan Covid-19 dijalankan secara besar-besaran di kampung itu sejak Khamis lalu.
Pengarah kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kebanyakan individu yang disahkan positif di kampung itu setakat ini terdiri daripada penduduk yang pernah menjadi pelanggan di kedai runcit tersebut.
“Rata-rata penduduk yang mengunjungi premis itu didapati bergejala dan positif Covid-19.
“Oleh itu, Kampung Pulau Tukang Dollah dikategorikan sebagai kluster baharu di negeri ini, selaras dengan pelaksanaan PKPD di situ,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan di sini hari ini.
Tinjauan tersebut turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Mengulas berkaitan pemvaksinan, Dr. Zaini berkata, seramai 3,000 penduduk di daerah ini disasarkan menerima suntikan dos pertama masing-masing dalam tempoh lima hari bermula hari ini di PPV tersebut.
Katanya, tempoh pemberian vaksin di situ mungkin akan dilanjutkan sekiranya bekalan dos vaksin yang baharu tiba mengikut jadual ditetapkan.
“Setakat ini, PPV di negeri ini masih boleh memberi suntikan kepada 10,000 hingga 12,000 penerima sehari memandangkan kapasiti sebenar sepatutnya 30,000 dos sehari,” katanya.