BUTTTERWORTH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunggu laporan penuh daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berhubung dakwaan berlakunya pendaftaran automatik sebagai anggota Rela seperti yang tular dalam media sosial.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Rela meneliti perkara itu sebelum tindakan lanjut dapat diambil.
“Dalam sehari dua nanti mereka (Rela) akan memberikan hasil laporan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai isu yang tular di dalam media sosial sejak semalam yang mana beberapa individu mendakwa maklumat peribadi mereka didaftarkan sebagai anggota Rela secara automatik di dalam sistem MyRELA.
Bagaimanapun, Rela dalam kenyataan menafikan dakwaan menggunakan data peribadi seseorang lain untuk didaftarkan sebagai anggota pasukan itu secara automatik tanpa mendapat kebenaran individu berkenaan dan menegaskan perbuatan itu bercanggah dengan Seksyen 6 (1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Dalam pada itu Hamzah berkata, kerajaan juga akan memperhalusi pendaftaran keanggotaan Rela pada masa depan bagi memastikan proses tersebut tidak boleh dilakukan secara mudah oleh sesiapa sahaja.
Tambah beliau, perkara itu juga bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan kelebihan berdaftar sebagai anggota Rela. – UTUSAN ONLINE