PETALING JAYA: Kaunter Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di seluruh negara ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ataupun Total Lockdown yang bermula pada 1 Jun sehingga 14 Jun ini.
PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menyediakan kemudahan perkhidmatan menggunakan platform dalam talian yang ternyata lebih selamat untuk membendung penularan wabak Covid-19.
“Penutupan itu adalah selaras dengan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan. PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa prihatin dan peka serta mengambil berat terhadap keperluan pelanggan.
“Bagi meneruskan perkhidmatan dan juga memudahkan urusan semua pelanggan, PTPTN telah menyediakan kemudahan perkhidmatan yang lebih selamat dan cepat iaitu perkhidmatan secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN,” katanya.
Urusan yang boleh dijalankan melalui platform itu termasuk urusan permohonan pinjaman, bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun atau penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
PTPTN boleh dihubungi melalui Perkhidmatan Live Chat PTPTN yang beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Perkhidmatan Live Chat PTPTN merupakan saluran alternatif yang boleh diakses oleh para pelanggan dengan mudah dan cepat.
Selain itu, PTPTN turut memberi kelonggaran dan pemanjangan tempoh bagi penghantaran Dokumen Tawaran dan Perjanjian Pinjaman PTPTN.
“Dokumen bagi kelulusan baharu bertarikh 7 Mei dilanjutkan tempoh penghantaran sehingga 28 Jun ini manakala bagi peminjam yang telah diluluskan pertukaran Ujrah mulai Mei 2021.
“Bagi penstrukturan semula pinjaman bulan Jun 2021 boleh membuat penghantaran dokumen selewat-lewatnya pada 30 Jun 2021. Semua dokumen tersebut boleh dihantar melalui pos ke Ibu pejabat PTPTN di Menara PTPTN, Kuala Lumpur,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan kemudahan perkhidmatan dalam talian dan kelonggaran yang diberikan adalah bukti komitmen PTPTN untuk memastikan urusan pelanggan tidak terjejas walaupun kaunter PTPTN ditutup di seluruh negara.
“Pelanggan tidak perlu berurusan secara bersemuka serta dapat menjimatkan masa, mudah dan selamat.
“PTPTN juga akan sentiasa berusaha bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah yang terbaik untuk para pelanggan. Sebarang maklumat terkini boleh diperolehi melalui Portal Rasmi PTPTN,” ujarnya. – UTUSAN