PUTRAJAYA: Kaunter perkhidmatan kerajaan di seluruh negara dibenarkan beroperasi secara fizikal mulai 1 Julai ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, keputusan itu setelah meneliti keperluan pembukaan kaunter perkhidmatan kerajaan yang mendesak berdasarkan maklum balas orang ramai.
Menurut beliau, tatacara pengoperasian kaunter perkhidmatan kerajaan itu adalah bagi perkhidmatan yang tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian.
“Selain itu, kapasiti petugas kaunter tidak melebihi 50 peratus manakala kehadiran secara fizikal hanya melalui janji temu berjadual,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zuki berkata, ketua jabatan hendaklah memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan dipatuhi setiap masa.
Beliau berkata, ia bagi mengimbangi penyampaian perkhidmatan yang optimum kepada pelanggan dan pencegahan penularan Covid-19 di tempat bertugas.
Pengoperasian perkhidmatan kaunter kerajaan ketika ini tidak beroperasi secara fizikal dalam tempoh Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara sejak 1 Jun lalu.
Pengecualian operasi hanya di kaunter perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu-pintu masuk antarabangsa melibatkan perkastaman, imigresen serta kuarantin.