Kasut Converse berusia 104 tahun jadi milik orang Kuantan - Utusan Malaysia

Kasut Converse berusia 104 tahun jadi milik orang Kuantan

WAN Irfayuim Azim Wan Ab Aziz menunjukkan kasut kasut Converse Non Skid yang kini sudah dijual kepada pembeli dari Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kasut Converse edisi pertama di dunia, Converse Non Skid berusia 104 tahun yang dilelong pada harga RM40,800 oleh pemiliknya yang tular di media sosial sejak semalam sudah dibeli peminat barangan vintaj dari Kuantan, Pahang.

Pemilik asalnya, Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, berkata, pembeli berkenaan menghantar mesej melalui pesanan WhatsApp kepadanya dan bersedia membayar amaun RM40,800 sebagaimana ditawarkannya di laman sosial Facebook.

“Pembeli itu, pada pengetahuan saya bukan orang Kelantan, seorang lelaki yang tinggal di Kuantan, Pahang dan telah selesai membuat urusan akad jual beli. Dia mahu mendapatkan kasut itu secepat yang mungkin.

“Insya-Allah hari ini sebaik sahaja urusan pembayaran selesai semuanya, kasut itu akan menjadi milik pembeli berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Chekok di sini hari ini.

Menurutnya, lelongan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan apabila tidak sampai 24 jam dibuka dengan hampir 10 individu termasuk dari luar negara bersungguh-sungguh mahu memiliki kasut berkenaan.

ANTARA kelengkapan yang dijual bersama kasut Converse Non Skid iaitu seluar pendek basketball dan pelindung lutut. – UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH

“Ada antara mereka bukan sahaja dari Malaysia, malah dari Thailand dan Amerika Syarikat juga turut mencuba nasib.

“Namun akhirnya peminat dari Malaysia yang berjaya memilikinya dengan harga RM40,800,” katanya.

Wan Irfayuim Azim berkata, kasut keluaran pertama jenama Converse yang dihasilkan pada 1917 itu turut disertakan dengan sepasang seluar pendek ‘basketball’ bertarikh 1916 serta pelindung lutut bagi permainan itu.

“Kasut ini amat unik dan payah untuk didapati dan amat berharga bagi pengumpul barangan vintaj yang tahu nilainya.

“Setelah keadaan meruncing dan saya perlukan perbelanjaan dalam situasi ekonomi tidak menentu ini, jadi untuk meneruskan kelangsungan hidup maka saya ambil keputusan jual kasut ini dengan harga terbabit.

“Lagipun saya tidak dapat meneruskan pekerjaan sebagai pemandu pelancong di Jepun setelah lebih tiga tahun setengah menetap di sana. Selepas Covid-19 melumpuhkan industri pelancongan di sana, saya nekad balik ke kampung dan melakukan pekerjaan pertukangan.

“Diharap dengan keputusan saya menjual kasut ini, dapatlah saya buat modal perbelanjaan untuk meneruskan kerja-kerja pertukangan kayu,” katanya.

Menurut Wan Irfayuim Azim, dia akan turut menghadiahkan tiga pasang lagi kasut Converse keluaran 1950, 1960 dan 1970 sebagai hadiah kepada pembeli terbabit sebagai tanda sokongan kepada pengumpul barangan vintaj.

Semalam, kisah Wan Irfayuim Azim tular apabila dia terpaksa melelong sepasang kasut Converse model pertama di dunia yang dihasilkan pada 1917 dengan harga RM40,800, gara-gara terkesan akibat pandemik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya