KUALA LUMPUR: Pendatang baharu, Ady Mohamad, 22, berasa bersyukur apabila filem pendek lakonannya, Di Kala Hari Aku Pergi tercalon di Festival Web Seoul (Kwebfest 2021), Korea.
Menurut pelakon di bawah pengurusan syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) itu, berkata, semoga bakat pelakon muda dan pengkarya kreatif dapat diketengahkan lagi ke peringkat global.
“Alhamdulillah, syukur dan terkejut mendengar khabar ini. Rasa macam baru semalam saja shooting. Ini semua kerja sepasukan, usaha kami membuahkan hasil. Harap kerja kreatif mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” ujarnya yang berharap menang bagi kategori pelakon terbaik.
Sementara itu, pengarahnya, Ikram Haizammuri, 22, berkata, dia berpuas hati dan bersyukur kerana projek tersebut dijalankan dalam keadaan musim pandemik dan sedia maklum perlu patuh pada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Segalanya terhad bila penggambaran dijalankan dalam norma baharu. Tapi saya begitu bernasib baik kerana dapat bekerjasama dengan krew dan pelakon yang komited dalam menjayakan projek ini.
“Harapan saya mestilah untuk memenangi kategori utama filem pendek. Tapi berjaya disenaraikan dalam festival itu juga satu pencapaian yang cukup baik. Bukan semua orang berpeluang terpilih dalam festival seperti itu.
“Kalau menang, saya bercadang untuk menulis dan memulakan projek filem indie pula dan cuba mencari dana atau pihak produser yang sanggup membantu dalam turut menjayakan projek itu nanti,” ujarnya.
Secara ringkas, filem pendek terbitan Metha Studios Productions itu berkisarkan tentang seorang lelaki yang begitu terdesak untuk mengubah kesilapannya pada masa lalu sehingga dia rela mencari ketenangan hidup tanpa menghiraukan realiti sebenar.
Untuk rekod, edisi ketujuh Kwebfest tahun ini mempertandingan 250 karya dari pelusuk negara dengan lebih 30 kategori.