GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Jepun selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan negeri ini pada kedudukan 53 batu nautika barat laut Pulau Kendi, dekat sini semalam.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal tangki itu ditahan oleh kapal peronda Maritim Malaysia, KM Burau kira-kira pukul 4 petang semasa Op Pertiwi/Benteng Laut.
Menurut beliau, kapal tersebut yang dalam perjalanan dari Singapura ke Fujuriah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dikendalikan 26 kru iaitu empat warga Jepun dan 22 warga Filipina.
“Mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah namun gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia.
“Mereka dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia negeri untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.