Kapal tangki Hong Kong, bot tunda Singapura ditahan

Kapal tangki Hong Kong, bot tunda Singapura ditahan bersauh secara haram

KAPAL tangki berdaftar di Hong Kong yang ditahan Maritim Malaysia kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sebuah kapal tangki berdaftar di Hong Kong dan sebuah bot tunda berdaftar di Singapura bersama tongkang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor kerana disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur, semalam. 

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahanan kedua-dua buah vesel terbabit dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari selepas pihaknya menerima laporan pengesanan.

Katanya, kapal tangki ditahan pada kedudukan 12 batu nautika timur Tanjung Siang, manakala bot tunda berkenaan pula ditahan di kedudukan 1.8 batu nautika timur Tanjung Ayam.

Dalam operasi tersebut, tambahnya, Maritim Malaysia telah menugaskan sebuah kapal dan bot ronda untuk ke lokasi sasaran pengesanan.

“Penahanan pertama dilakukan terhadap bot tunda berserta tongkang yang dikendalikan lima kru warga Indonesia mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan berumur antara 29 tahun hingga 50 tahun.

“Penahanan kedua pula dilakukan terhadap kapal tangki yang dikendalikan oleh 21 kru warga Indonesia juga mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan berumur antara 23 tahun hingga 58 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Nurul Hizam berkata, kedua-dua nakhoda kapal didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta pemakluman ketibaan di perairan Malaysia. 

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia. 

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

“Untuk rekod, sebanyak 45 buah kapal telah ditahan dalam Op Jangkar Haram dan menjadikan keseluruhan kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 oleh Maritim Negeri Johor bagi tahun ini adalah sebanyak 63 kes sehingga hari ini ,” katanya.

Maritim Malaysia tegas beliau sering mengingatkan kepada semua pemilik dan nakhoda kapal supaya memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki dan bersauh di perairan Malaysia. 

Jelasnya, pihak Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara. 

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya