‘Kami tidak beri pandangan Agong perlu ikut nasihat PM’ - Utusan Malaysia

‘Kami tidak beri pandangan Agong perlu ikut nasihat PM’

ABDUL HAMID MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad tidak memberi pandangan sama ada untuk memanggil Parlimen bersidang dengan Yang di-Pertuan Agong perlu melakukannya di atas nasihat Perdana Menteri.

Beliau merujuk catatan bersama Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM)​, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz yang dikeluarkan pada Isnin lalu.

“Saya juga ingin menarik perhatian pembaca bahawa dalam rencana tersebut kami tidak memberi pandangan sama ada untuk memanggil persidangan Parlimen menurut Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Yang di-Pertuan Agong perlu melakukannya atas nasihat Perdana Menteri atau tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Isnin lalu, Tun Abdul Hamid dan Shamrahayu membangkitkan sebab mengapa Yang di-Pertuan Agong perlu mendengar nasihat Perdana Menteri dan Kabinet seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu catatan kedua-dua tokoh itu berpendapat, pelanggaran beberapa peruntukan tertentu akan memberi kesan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Tun Abdul Hamid berkata, terdapat satu klausa telah tertinggal di beberapa perenggan catatan itu walaupun ia diulangkan sebanyak dua kali pada sebelumnya.

Ia merujuk kepada satu klausa iaitu ‘melainkan dalam perkara-perkara yang dikecualikan oleh Perlembagaan’ seperti yang terdapat dalam halaman satu, perenggan tujuh atau ‘yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara Seri Paduka seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan’ yang terdapat dalam halaman dua, perenggan dua.

“Ketertinggalan klausa tersebut mungkin telah menyebabkan pembaca-pembaca yang hanya membaca perenggan terakhir (rencana sepatutnya dibaca keseluruhannya) menanggap bahawa mengikut rencana itu Yang di-Pertuan Agong mesti menurut nasihat Perdana Menteri dalam semua perkara.

“Maka untuk mengelak anggapan sedemikian, dengan ini dimasukkan klausa ‘dalam perkara yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara Seri Paduka seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan’ ke dalam ayat yang bermula dengan kata-kata “Dalam kata lain…..”,” katanya.

Sehubungan itu, Tun Abdul Hamid berkata ayat itu seharusnya berbunyi seperti tersebut:

“Dalam kata lain, adalah lebih tepat untuk baginda menurut nasihat Perdana Menteri dalam perkara yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara Seri Paduka seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan dan nasihat Peguam Negara yang berkuasa pada masa ini. Pada ketika-ketika tertentu Seri Paduka boleh menyampaikan pandangan kepada kerajaan”.

Beliau berharap dengan memasukkan klausa itu akan dapat mengelak salah faham terhadap maksud sebenar rencana itu.

Terdahulu Tun Abdul Hamid mengingatkan catatan itu merupakan rencana ilmiah undang-undang dengan sama ada betul atau sebaliknya adalah di sisi undang-undang dan bukannya disukai atau tidak.

“Setakat ini belum ditunjukkan di mana pandangan dan hujah-hujah kami yang tidak betul. Pendirian saya adalah, jika ditunjukkan di mana pandangan kami yang tidak betul, disertai dengan hujah-hujah yang lebih baik, saya akan menerimanya dan membuat pembetulan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya