IPOH: Kekecewaan terhadap persembahan buruk pemain naturalisasi, Guilherme de Paula sudah lama dirasakan penyokong Perak.
Seorang peminat setia Bos Gaurus, Ahmad Danish berkata, penyokong Perak sudah lama rasa kecewa dan tidak hairan dengan persembahan buruk De Paula ketika beraksi menentang Emiriah Arab Bersatu ( UAE) di Dubai awal pagi tadi.
“Macam itulah persembahannya semasa menyarung jersi Perak FC dahulu.
“Dahulu cuma peminat Perak yang kecewa kini seluruh peminat Malaysia boleh saksikan sendiri.
“Ingatkan dah berubah kerana sudah berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT). Rupanya masih di takuk lama.
“Saya hairan bagaimana (Tan) Cheng Hoe masih menyenaraikan pemain itu, ” kata remaja dari Jelapang itu.
Sementara itu, Iqbal Rostam berkata, tindakan Perak FC melepaskan pemain kelahiran Brazil itu memang tepat.
“Dia bukan aset kepada pasukan kerana akan menjadi faktor menjatuhkan moral rakan sepasukan dengan persembahan hambarnya,” kata penuntut sebuah institusi pengajian tinggi itu.
Iqbal berkata, sebagai pemain berpengalaman, De Paula sepatutnya menunjuk contoh dan teladan yang baik kepada pemain muda.
“Dia sepatutnya mempunyai jiwa dan bersemangat patriotik kerana beraksi untuk pasukan kebangsaan Malaysia, ” ujarnya lagi.