'Kalau niaga mula 8 pagi, kebanyakan pelanggan sudah masuk kerja' - Utusan Malaysia

‘Kalau niaga mula 8 pagi, kebanyakan pelanggan sudah masuk kerja’

ABDUL Yunus Jamahri (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada peniaga yang terjejas PKP di Kuala Kurau, Parit Buntar. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Seramai 700 ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak (PPPMP) Cawangan Kerian di sini terutama peniaga makanan, meminta kerajaan mengkaji semula waktu operasi perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusinya, Ellias Sarkawi berkata, waktu operasi yang ditetapkan ketika ini iaitu mulai pukul 8 pagi tidak sesuai kerana majoriti pelanggan datang seawal pukul 6.30 pagi.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pendapatan peniaga terjejas selain menyukarkan pelanggan untuk membuat pembelian.

“Kami berharap kerajaan mempertimbangkan tempoh masa operasi dengan membenarkan perniagaan dibuka seawal pukul 6 pagi.

“Jika perniagaan dibuka pada pukul 8 pagi, kebanyakan pelanggan telah masuk kerja terutamanya yang bekerja kilang dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada program sumbangan Bakul Makanan kepada 200 penjaja dan peniaga kecil Daerah Kerian di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau di sini hari ini.

Menurut Ellias, keadaan itu menjejaskan pendapatan peniaga kecil yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

“Kami juga berharap kerajaan melanjutkan tempoh perniagaan hingga pukul 10 malam sebagaimana PKP sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri yang juga ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, tempoh masa operasi perniagaan semasa PKP menimbulkan keluhan dalam kalangan peniaga.

Menurutnya, mereka mahukan tempoh masa operasi perniagaan yang lebih sesuai iaitu bermula lebih awal dan dilanjutkan sehingga 10 malam.

“Saya telah membawa isu ini ke peringkat negeri dan telah sampai ke pengetahuan kerajaan Pusat,” katanya.

Kata Abdul Yunus, kerajaan negeri telah memberikan pelbagai bentuk bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil di negeri ini yang terjejas PKP.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk) telah mengumumkan bantuan sekali bayar sebanyak RM400 kepada semua penjaja dan peniaga kecil di negeri ini yang berdaftar di bawah PPPMP.

“Di Daerah Kerian, seramai 700 ahli berdaftar di bawah PPPMP cawangan Kerian layak menerima bantuan tersebut.

“Selain itu, Majlis Daerah Kerian (MDK) mengecualikan pembayaran sewa premis untuk tempoh sebulan bermula Julai ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya