KUALA PILAH: Lima kakitangan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dekat sini dikompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam Operasi Bersepadu Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di hospital tersebut malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, lima individu itu yang berusia 25 hingga 48 tahun didapati melanggar SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika operasi yang dijalankan bermula pukul 8.30 malam itu.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan susulan permintaan daripada pihak pengurusan hospital itu sendiri yang mendapati tahap pematuhan SOP dalam kalangan warga kerjanya yang agak rendah.
“Satu operasi dijalankan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), HTAN dan polis. Lima kakitangan berkenaan dikompaun kerana gagal memakai pelitup muka serta gagal mendaftar masuk ke premis pekerjaan menggunakan aplikasi MySejahtera atau buku daftar masuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemuanya dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Tambah Amran, selain tindakan kompaun, nasihat juga diberikan kepada warga kerja dan orang awam yang berada di hospital berkenaan supaya mematuhi SOP.