Kadar dos suntikan harian  ditingkat kepada 300,000 dos  - Utusan Malaysia

Kadar dos suntikan harian  ditingkat kepada 300,000 dos 

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Purata harian suntikan dos vaksin Covid-19 akan ditingkatkan kepada 300,000 dos dalam masa terdekat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah menerima arahan daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba supaya menyegerakan kadar suntikan itu.

Beliau berkata, purata pemberian suntikan vaksin Covid-19 sepanjang minggu lalu meningkat kepada 189,329 dos sehari berbanding 130,842 pada minggu sebelumnya.

“Setakat ini, kadar vaksinasi tertinggi setakat ini direkodkan negara adalah pada 17 Jun lalu iaitu  sebanyak 229,707 dos.

“Kita akan terus menyasarkan penanda aras baharu iaitu 300,000 dos sehari, dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Katanya, pelaksanaan Fasa 3 PICK di Lembah Klang bermula hari ini selepas mengambil kira kadar peratusan warga emas yang berdaftar sudah mencapai 99 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 88 peratus di Selangor.

Khairy berkata, langkah proaktif itu dibuat tanpa menunggu semua 100 peratus yang berdaftar selesai disuntik bagi memastikan program vaksinasi ini dapat disegerakan. 

“Untuk makluman, Fasa 3 ini digerakkan secara berperingkat di daerah tertentu yang telah habis vaksinasi kumpulan warga emas dengan sekurang-kurangnya satu dos, iaitu seperti di Putrajaya yang bermula beberapa minggu lalu.

“Kita akan terus mendapat laporan daripada negeri-negeri bagi warga emas yang belum lagi berdaftar dan meletakkan mereka dalam senarai keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, setakat ini, negara menerima 4,078,620 dos vaksin daripada Pfizer dan sebanyak 444,600 lagi dos akan diterima minggu ini.

“Sukacita saya maklumkan bermula minggu kedua bulan Julai, kita akan lihat peningkatan vaksin daripada Pfizer setiap minggu yang akan saya maklumkan pada minggu depan.

“Bagi Coronavac, sebanyak 3,687,880 dos telah diterima manakala sebanyak 760,880 dos akan diedarkan ke fasiliti mulai hari ini.

“Bagi AstraZeneca, sebanyak 828,000 dos telah diterima sehingga kini. Kita akan terima penghantaran baharu daripada AstraZeneca pada awal bulan Julai yang akan saya umumkan pada minggu hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya