Jumlah orang Asli di NS setuju terima vaksin masih rendah - Utusan Malaysia

Jumlah orang Asli di NS setuju terima vaksin masih rendah

PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Orang Asli Kampung Orang Asli Panchor, Jempol, John Baharin Ayom, 53, menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol, Jempol, baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 1,138 masyarakat orang Asli di Negeri Sembilan enggan menerima vaksin Covid-19 atas pelbagai alasan setakat 10 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka, Shahrani Idderis berkata, jumlah tersebut daripada 4,648 borang pendaftaran vaksin Covid-19 yang diedarkan di seluruh 69 perkampungan orang Asli di negeri ini.

“Faktor-faktor utama kesemua mereka ini menolak untuk menerima vaksin Covid-19 adalah kerana masih mahu menunggu dan lihat, dipengaruhi maklumat daripada media sosial selain tidak mendapat maklumat tepat berkaitan program vaksinasi ini.

“Bagaimanapun, daripada 1,995 borang yang pendaftaran yang dikembalikan itu, seramai 857 bersetuju menerima vaksin dan setakat ini seramai 32 orang masyarakat orang Asli di negeri ini menerima vaksin Covid-19,” katanya hari ini.

Namun begitu, tambah Shahrani, walaupun bilangan masyarakat orang Asli yang bersetuju menerima vaksin Covid-19 masih rendah, pelbagai usaha terus dijalankan bagi meningkatkan jumlah tersebut.

“Sebagai contoh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban bersama Jakoa menjalankan program khas suntikan vaksin Covid-19 bagi orang Asli di daerah ini dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 18 penduduk Kampung Orang Asli Kedat, Mantin dekat sini dikesan positif Covid-19.

Jelas beliau, jumlah tersebut adalah yang terbesar setakat ini melibatkan sebuah perkampungan Orang Asli di negeri ini.

“Seramai 16 orang yang positif itu adalah ahli keluarga rapat daripada dua kes awal positif Covid-19 di kampung tersebut. Mereka kini sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Orang Ramai Mantin.

“Saya difahamkan juga PKD Seremban akan mengadakan proses saringan Covid-19 kepada kira-kira 256 orang penduduk di kampung orang Asli tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya