JAKARTA: Presiden Joko Widodo diramal mewariskan hutang lebih 10,000 triliun rupiah atau 10 kuadriliun rupiah di akhir kepemimpinannya.
CNN Indonesia melalui ruangan Analisis bertajuk ‘Bangkrut, Blacklist dan Deret Ancaman Tumpukan Utang RI’ melaporkan, perkara itu disebabkan kedudukan hutang yang ditanggung negara ketika ini yang mencapai lebih 300 peratus, terdiri daripada hutang pemerintah dan Badan Usaha Milik Negara (BUMN).
“Warisan hutang Presiden kepada Presiden berikutnya boleh jadi lebih daripada 10,000 triliun rupiah,” jelas pakar ekonomi Institute for Development of Economics and Finance (Indef), Didik J Rachbini.
Mengenai perkara itu, sejumlah penganalisis ekonomi juga sepakat hutang Indonesia memasuki kategori gawat atau ‘lampu kuning’.
Untuk itu jelas mereka, pemerintah perlu berhati-hati dalam pengelolaan hutang.
Penganalisis ekonomi Indef, Dzulfian Syafrian berkata, kesan terburuk hutang adalah negara bakal berdepan bankrap jika pemerintah gagal melunaskan hutang berkenaan.
“Kemungkinan terburuk? Ya tentunya Indonesia boleh bankrap kerana hutang itu.
“Sama seperti kebankrapan syarikat, sebuah negara dikatakan bankrap apabila gagal membayar hutangnya. Negara tersebut akan masuk dalam daftar senarai hitam secara global,” jelasnya.