Johor boleh jadi negeri pertama adakan sidang DUN - Pemuda UMNO - Utusan Malaysia

Johor boleh jadi negeri pertama adakan sidang DUN – Pemuda UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor diharap dapat menjadi negeri pertama mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk semua wakil rakyat duduk bersama menyelesaikan isu yang semakin membelenggu rakyat.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Hairi Md. Shah berkata, semua pihak perlu akur dengan keperluan Parlimen dan DUN untuk bersidang segera dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) meskipun tiada tarikh ditetapkan.

“Tahniah kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang bersedia mengadakan sidang DUN dengan segera seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

“Sesuatu perlu dilakukan bagi menyelesaikan perkara itu dalam memastikan kestabilan politik terus terjaga dan kepentingan rakyat terbela sepanjang tempoh pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam Hasni berkata, kerajaan negeri akan mengenal pasti tarikh yang sesuai supaya sidang DUN Johor dapat dijalankan segera agar proses serta amalan demokrasi Cara Johor sejak dahulu lagi yang amat menekankan aspek permuafakatan terus dijunjung tinggi.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu segera bersidang terutama bagi membincangkan usaha memerangi penularan Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

Mohd. Hairi menambah, Istana Negara serta Majlis Raja-Raja sedar dan melihat kepincangan yang berlaku pada hari ini berhubung ketidakstabilan politik negara.

“Pelaksanaan darurat yang hangat-hangat tahi ayam tidak lagi relevan apabila sejak diumum Januari lalu sehingga Jun ini, kes masih berada pada tahap membimbangkan. Darurat ini bertujuan membolehkan kerajaan bertindak di luar daripada kebiasaan.

“Apa guna darurat dibuat sekiranya kerajaan tidak berani mengarahkan kilang besar ditutup. Tidak berani mengambil alih hospital pakar untuk membantu sistem kesihatan awam. Tidak mampu menggunakan kuasa dalam istilah darurat,” katanya.

Beliau mendakwa, darurat itu semata-mata untuk menggubal undang-undang menambah nilai kompaun dan menjaga kelompok tertentu sahaja dan titah Majlis Raja-Raja bahawa tiada keperluan ia diteruskan amat tepat pada waktunya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pembukaan sidang DUN Johor bukanlah suatu perkara luar biasa kerana Johor pernah membuktikan mampu bermesyuarat dengan semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini.

“Kita di Johor harus memperhalusi setiap perkara bagi memenangkan rakyat yang semakin terhimpit dengan permasalahan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan.

“Justeru penilaian membuka semula sidang DUN Johor harus diperhalusi dan diangkat bagi mengambil pandangan dari pelbagai pihak agar ia dapat dilaksanakan untuk kebaikan rakyat negeri ini,” katanya.

Selain itu katanya, pembukaan semula sidang DUN akan menzahirkan kematangan negeri ini dalam menyambut seruan dan titah Yang di-Pertuan Agong bagi menggembleng tenaga, usaha dan idea semua pihak yang terlibat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya