Johor benar sektor runcit, pasar beroperasi tanpa kelulusan MITI - Utusan Malaysia

Johor benar sektor runcit, pasar beroperasi tanpa kelulusan MITI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perniagaan runcit dan pasar yang dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak memerlukan surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, perkara itu telah dijelaskan dalam pekeliling pada 1 Jun lalu dan tidak sepatutnya timbul sebarang kekeliruan berhubung kebenaran beroperasi melibatkan sektor peruncitan dan pasar.

“Berdasarkan mesyuarat bersama PBT, agensi penguatkuasaan, Bahagian Kerajaan Tempatan dan MKN Johor pada 31 Mei lalu, tidak sekalipun memutuskan sektor peruncitan dan pasar memerlukan surat daripada MITI untuk beroperasi.

“Sehubungan itu semua premis perniagaan di bahagian peruncitan dan pasar boleh terus beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan berdasarkan notis dikeluarkan PBT,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Ayub, PBT mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan sebarang pengoperasian perniagaan yang tidak jelas atau tidak disenaraikan.

“Bagi operasi perniagaan yang tidak jelas dan tidak disenaraikan dalam operasi dibenarkan atau tidak dibenarkan, PBT boleh membuat keputusan agar tidak membenarkan langsung operasi yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, jelas beliau, semua PBT diminta meningkatkan penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP khususnya bagi Kluster Peruncitan dan Kluster Pasar.

“Bermula PKP 3.0 ini, pegawai penguat kuasa PBT diminta menggunakan Akta 342 dan Ordinan Darurat bagi memastikan peniaga dan pengguna mematuhi SOP ditetapkan.

“Penguatkuasa PBT juga akan menggunakan Akta 171 di bawah Seksyen 72 (1) F (I) termasuk boleh menutup operasi premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP,” katanya.

Ayub mewakili kerajaan negeri turut menyeru agar peniaga dan pengguna di Johor mematuhi semua SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya