Satu isu sensitif yang cukup tabu untuk diperkatakan. Malah untuk bertanyakan soal ini juga, jawapan sama sentiasa diterima, ”belum jodohnya”. Tetapi benarlah bagai dikata, sudah lumrah hidup, soal jodoh dan rezeki adalah ketentuan Tuhan.
Siapa sahaja yang tidak mahu bermadu kasih dengan pasangan pilihan sendiri. Semua daripada kita mengimpikan keluarga yang bahagia. Namun, ada yang masih belum bertemu cinta sejati.
Berbalik kepada soal itu, Pancaindera minggu ini membedah hati dan perasaan beberapa rakan artis yang masih belum bertemu jodoh. Sama ada mereka yang enggan bertemu cinta atau masih belum ada jodohnya. Ini jawapannya.
Bukannya tidak berusaha cari jodoh – Sherry Al-Hadad
Masih belum berkahwin ketika usianya kini sudah menjengah angka 36, pengacara popular, Sherry Alhadad, menganggap soal jodoh ini adakalanya boleh menyuntik rasa sensitif bagi seseorang itu.
Pun begitu, dia tidak pernah marah apabila sering ditanya mengenainya. Sherry cuba melihat dari sisi positif kerana ternyata, sebagai seorang manusia biasa, dia juga ingin menikmati hidup sebagai seorang wanita bergelar isteri dan ibu suatu hari nanti.
“Dulu, sewaktu berumur 17 tahun, bila orang tanya nanti tahun 2020 awak akan jadi apa ya Sherry? Saya jawab dengan meramalkan diri sudah berkahwin, ada anak empat orang dan bahagia membina hidup berkeluarga.
“Tapi bila masuk tahun 2020, semuanya jadi lain ya? Terus-terang, bukannya saya tak risau bila masuk usia begini masih belum ada suami. Malah, jangan salah sangka dengan melabel wanita bekerjaya pula susah nak bertemu jodoh sebab semua itu urusan Tuhan.
“Saya tak fikir kerana diri seorang wanita bekerjaya di pentas glamor maka lelaki takut nak mendekati. Tak semestinya. Usaha saya tidak semua orang tahu atau perlu tahu bukan? Tak akanlah nak canang pula,”katanya.
Melihat banyak asbab dan hikmah tersendiri dia masih belum berkahwin, Sherry yakin, ia adalah satu petanda bahawa Allah SWT mahu dia memperbaiki diri selain berbakti lebih kepada keluarga.
“Bagi saya, lebih baik kita positif sahaja sebab adakala perkahwinan itu bukan satu kemestian. Jika belum sampai jodoh, nak buat macam mana? Nikmati saja hidup ini dengan menggembirakan hati sendiri.
“Kadang-kadang tak berkahwin itu bukan satu masalah, sebaliknya sudah berkahwin pula wujud masalah. Kita tak tahu dan tiada jaminan bukan?
“Apa pun, terima kasih pada semua yang sentiasa mendoakan saya untuk bertemu jodoh. Cuma, satu harapan saya, andai Tuhan menemukan saya dengan seseorang, biarlah lelaki tersebut menerima saya sebagai Shariffah Mariam seadanya,”katanya.
Masing-masing ada cerita sendiri – Azhan Rani
Agak sukar untuk membuka mulut menjawab persoalan ini, bagi pelakon, Azhan Rani, masing-masing mempunyai cerita sendiri apabila bercakap soal jodoh belum sampai. Bukan menolak, tetapi sudah ketentuannya begitu.
“Siapa tidak mahu berkeluarga? Kadang-kadang saya lihat, ada yang tidak bersyukur dengan anugerah keluarga yang dimiliki. Saya pernah terfikir, lebih baik beri sahaja keluarga itu kepada saya.
“Ramai yang cakap untunglah popular, jadi artis. Tetapi bagi saya, untuk memiliki keluarga itu adalah anugerah yang mungkin tidak semua miliki. Jadi bersyukurlah. Bukan saya tak mahu kahwin tetapi, ada ceritanya,” katanya.
Tidak menolak jika bertemu jodoh akan datang, baginya jika itu ketentuannya jadi dia menerimanya. Namun, wanita tersebut perlulah memahami dan menerima dirinya seadanya sebelum berkahwin.
“Kalau Tuhan nak bagi, saya terima. Tetapi jika tiada, juga saya reda. Ada benda yang saya ada orang tidak ada. Ada benda orang lain dapat, saya tidak dapat. Tuhan Maha Adil kan?” katanya.
Hefny takut dipermainkan
Menginjak usia 34 tahun, pengacara dan pelakon tampan, Hefny Sahad, masih berstatus bujang.
Bukan ‘hilang nafsu’ untuk bercinta lagi, tapi rasa takut masih menghimpit diri selepas beberapa kali gagal dalam perhubungan cinta dahulu.
“Sejujurnya belum jumpa calon yang sesuai, apatah lagi nak melewati fasa perkenalan itu dah penat. Tambah pula rasa takut dipermainkan dan kecewa itu kadang-kadang terbit, betulkah saya ini pilihan mereka?
“Sebelum ini memang ada kriteria dan sasaran berkahwin. Sekarang ini, cukuplah dapat yang ‘sekepala’ dan sedap di pandangan mata.
“Tetapi tidaklah juga bercinta selepas nikah. Kenal dalam dua ke tiga bulan, sama-sama selesa dan ada rasa karisma, ayuhlah ke jenjang pelamin. Saya pun ada perasaan nak berkeluarga juga,” katanya.
Tambah pengacara Borak Kopitiam itu, usia bukan penghalang dalam menjalinkan hubungan dan perkahwinan.
“Saya juga sejujurnya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab bergelar suami itu. Andai ada rezeki bergelar bapa, semestinya juga saya bersedia,” katanya.
Siapa tak mahu kahwin? – Farahdhiya
Pelakon dan penyanyi, Farahdhiya tidak memerlukan masa bertahun untuk mengenali seseorang jika sudah berjumpa lelaki baik dan membuatkan dirinya rasa ingin berkahwin.
“Siapa yang tidak mahu kahwin, sebenarnya cukup jika jumpa lelaki yang baik dan membuatkan saya rasa nak berkahwin. Saya tidak perlukan masa bertahun untuk mengenali seseorang itu.
“Saya juga tidak mahu membazir masa. Jadi, saya boleh berkahwin bila-bila masa sahaja bila sudah berjumpa orang yang tepat,” katanya.
Bagi mengenali Farahdhiya lebih mendalam, dia tidak pernah meletakkan apa-apa kriteria terhadap seseorang lelaki untuk dijadikan pasangan hidupnya.
“Kalau kita dah berjumpa seseorang dan sesuai dengan dia, saya tiada masalah untuk mengenali dia secara mendalam.
“Cuma saya akan memandang kebersihan dahulu, elakkan lelaki yang pemalas serta lelaki yang kerap keluar kerana saya gemar duduk di rumah sahaja,” ujarnya.
Sempat berseloroh, Farahdhiya berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melambatkan jodohnya kerana masih berkurung di rumah.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu bahawa rakan-rakannya ada yang menasihati supaya cepat mendirikan rumah tangga. Tetapi, dia lebih selesa untuk mencari sendiri pilihan hatinya.